Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan lain-lain, dengan sanad yang sahih, yang bersumber dari Ibnu 'Abbas bahawa ketika Ka'b bin Al-Asyraf (tokoh Yahudi) datang ke Mekah, kaum Quraisy berkata kepadanya : "Tuan adalah pemimpin orang Madinah. Bagaimana pendapat tuan tentang si pura-pura sabar yang diasingkan oleh kaumnya, yang menganggap dirinya lebih mulia dari kami, padahal kami adalah penyambut orang-orang yang melaksanakan haji, pemberi minumnya serta penjaga Ka'bah? Ka'b berkata : " Kalian lebih mulia daripada dia." maka turunlah ayat ini (Al-Kautsar ayat 3) yang membantah ucapan mereka.
Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Kitab al-Mushannaf dari Ibnul Mundzir, yang bersumber dari 'Ikrimah bahawa ketika Nabi Muhammad SAW diberi wahyu, kaum Quraisy berkata :"Terputuslah hubungan Muhammad dengan kita." Maka surah Al-Kautsar ayat 3 ini turun sebagai bantahan terhadap ucapan mereka.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari As-Suddi. Juga diriwayatkan oleh Al-Baihaqi di dalam kitab Ad-Dalaa-il, yang bersumber dari Muhammad bin 'Ali, dan disebutkan bahawa yang meninggal itu ialah Qasim. bahawa kaum Quraisy menganggap kematian anak laki-laki itu bererti putus keturunan. Ketika putera Rasulullah SAW meninggal, Al-'Ashi bin Wa-il mengatakan bahawa keturunan Muhammad SAW telah terputus. Maka surah Al-Kautsar ayat 3 ini turun sebagai bantahan terhadap ucapan mereka.
Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi yang bersumber dari Mujahid bahawa ayat 3 ini turun berkenaan dengan Al-Ashi bin Wa-il yang berkata, "Aku membenci Muhammmad." Maka ayat ini turun sebagai penegasan bahawa orang yang membenci Rasulullah akan terputus segala kebaikannya.
Diriwayat oleh Aththabarani dengan sanad yang dhaif yang bersumber dari Ayyub bahawa ketika Ibrahim, putera Rasulullah SAW wafat, orang-orang musyrik berkata satu sama lain :"Orang murtad itu (Muhammad) telah terputus keturunannya malam tadi." Allah menurunkan surah Al-Kautsar ayat 1-3 ini yang membantah ucapan mereka.
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Sa'id bin Jubair bahawa ayat ini (ayat 2) turun pada peristiwa Hudaibiyah, ketika Jibril datang kepada Rasulullah memerintahkan qurban dan solat. Rasulullah segera berdiri seraya menyampaikan Khutbah Aidulfitri mungkin juga khutbah Aiduladha (rawi ragu, apakah peristiwa di dalam hadis itu terjadi pada bulan Ramadhan ayat pada bulan Zulkaedah) kemudian solat dua rakaat. Sesudah itu beliau menuju ke tempat qurban, lalu memotong haiwan qurban.
Menurut As-Sayuthi, riwayat ini sangat gharib. Matan hadis ini meragukan, kerana menyebut solatnya didahului khutbah.
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Syamr bin 'Athiyyah bahawa 'Uqbah bin Abi Mu'aith berkata : "Tidak seorang pun anak laki-laki Nabi Muhammad SAW yang hidup hingga keturunan terputus. "Ayat ke 3 ini turun sebagai bantahan terhadap ucapan itu.
Diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir yang bersumber dari Ibnu Jaraij bahawa ketika Ibrahim putera Rasulullah SAW wafat, kaum Quraisy berkata, "Sekarang Muhammad menjadi abtar (terputus keturunannya)." Hal ini menyebabkan Nabi Muhammad SAW bersedih hati. Maka turunlah ayat ini (Al-Kautsar 1-3) sebagai penghibur baginya.